ASAMPEDAS @ Metro Ahad



Terima Kasih Pn Noriah Idris, Dari Metro Ahad Bersama Zain Zaidin


Makan-makan: Tarikan asam pedas

Oleh NORIAH IDRIS
nori@hmetro.com.my

“MASAKAN asam pedas Melaka ini mempunyai rasa lain daripada yang lain. Daun limau purut digunakan dalam ramuan membuatkan aromanya begitu memikat,” kata Zain Saidin yang julung kali berkunjung ke Restoran Asam Pedas di Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Dia menggemari masakan asam pedas daging dan ikan tenggiri yang dicampurkan bersama daun kesum atau daun limau purut serta belacan sehingga mempunyai keenakan tersendiri.

Zain mengakui gemar makan nasi tetapi jumlahnya sederhana kerana mengambil nasi berlebihan tidak elok untuk kesihatan.

Selain memastikan kandungan zat dalam makanan sesuai dengan kadar diperlukan tubuh, dia mengakui masakan Melayu sering kali berkuah dan berminyak menyebabkan dia memilih meratah lauk-pauk untuk mengawal berat badan.

“Saya sukakan asam pedas Melaka kerana ia boleh meneutral semula kandungan lemak yang saya makan kerana kadar karbohidrat yang tinggi boleh menjejaskan kesihatan jika metabolisme kita rendah,” katanya.


Sebagai orang yang sibuk di lokasi drama, memperagakan fesyen, penggambaran iklan, Zain yang juga duta bagi pakaian sukan tidak menafikan memerlukan stamina bagi kemantapan diri.

Untuk itu, pelakon berusia 28 tahun ini sering menghabiskan masa di gimnasium bagi mengekalkan berat badan sewajarnya selain memastikan indeks jisim badan (BMI) berpatutan dengan usia serta ketinggian.


Sementara itu, pemilik restoran berkenaan, Ashaari Mohd Nasir, 36, berkata resipi yang diperturunkan ibunya, Saedah Ahmat, 62, membawa kepada pembukaan restoran itu adalah inspirasinya buat insan istimewa dalam hidupnya.


Dia mengekalkan rasa sebenar asam pedas kerana mahukan menu itu terus melekat di hati, lantas merintis restoran itu sejak 2004 dengan rumusan rempah-ratus tersendiri.


“Sebenarnya, apa yang saya lakukan untuk restoran ini adalah pernyataan sayang terhadap kampung halaman selain saya sendiri memang penggemar nombor satu asam pedas.


“Saya yakin asam pedas tetel (sejenis urat bercampur daging yang amat popular di Melaka) tetapi di restoran ini saya memanfaatkan daging sepenuhnya untuk masakan itu, selain asam pedas ikan (tenggiri dan pari) dan kepala ikan.


“Bahkan, menu lain seperti cucur udang Alor Gajah, tapai pulut Masjid Tanah, nasi goreng belacan Klebang dan banyak lagi memang menjadi sebutan ramai terutama yang pernah berkunjung ke restoran ini.


“Moto restoran seperti: ‘Apa kabau? Meh pekena asam pedas’ berunsurkan nilai tempatan bagi menggambarkan keindahan Melaka Bandar Bersejarah dan ia menjadi tarikan kepada orang ramai,” katanya.


Selain itu, hidangan dalam bentuk set agak berbaloi kerana hanya RM9 bagi set yang mengandungi nasi putih, telur dan ikan masin, ulam-ulaman serta asam pedas (kecuali kepala ikan). Set RM12.50 pula hampir sama seperti set RM9 cuma sedikit menunya ditambah iaitu sayur campur, teh ‘O’ ais serta tapai pulut Masjid Tanah.


Sesekali, penggemar mahu bertukar kepada masakan barat dan dia turut memperkenalkan menu asas seperti kentang, ‘fish and chip, nuget, stik black pepper dan chicken chop.’


Ashaari mengakui, kopi Melaka dan karipap Cik Ros turut dijadikan menu menarik memandangkan ia cita rasa ciptaan arwah neneknya, Hasnah Ani yang dihasilkan sejak 1968 dan kini diusahakan secara sejuk beku.


Ditanya mengenai usahanya mengembangkan lagi perniagaannya, dia mengakui mengintip beberapa lokasi sesuai misalnya di hentian rehat Lebuhraya Utara-Selatan di samping bakal membuka cawangan di Singapura dalam masa terdekat.




Resipi Asam Pedas Tenggiri



Bahan:


2 ketul ikan tenggiri

10 tangkai cili kering
2 butir bawang besar
5 ulas bawang putih (dikisar)
1.5 sentimeter kunyit hidup
2.5 sentimeter belacan
1 cawan air asam jawa
1 batang serai (diketuk)
4 helai daun limau purut
Sedikit minyak dan air
Garam secukup rasa


Cara memasak:


1. Panaskan minyak dan tumis bahan yang dikisar hingga garing dan naik bau.

2. Masukkan air asam jawa dan sedikit air serta serai yang diketuk.
3. Masukkan garam secukup rasa dan biarkan hingga mendidih.
4. Masukkan ikan tenggiri dan daun limau purut, biarkan hingga mendidih.
5. Siap dihidang.
* Boleh dimasukkan sayur bendi jika mahu.

  • Alamat: Asampedas Food & Beverage, 6, Jalan Jelatek 1, Jelatek Business Park, 54200 Kuala Lumpur
  • Telefon: 03-425 25 645
  • Facebook: www.facebook.com/asampedas
  •